HULU TERENGGANU
10 Feb. - Bandar kecil Kuala Berang yang menjadi pusat pentadbiran
daerah ini akan diperkenalkan sebagai Bandar Cahaya Bawah Tasik dengan
tarikan limpahan cahaya lampu berwarna-warni yang mengindah dan
menghidupkan suasana malam sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala
Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, ia bakal menjadi satu
simbol yang bakal mengingatkan semua bahawa daerah ini yang merupakan
pusat pengeluar tenaga elektrik terbesar melalui Empangan Kenyir selain
pusat ikon pelancongan.
Menurut beliau,
cadangan itu telah dikemukakan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk
membiayai dan kini masih di peringkat perancangan dari segi pelaksanaan
konsepnya kelak.
“Langkah ini diharap mampu mampu menjadi nilai
tambah dalam menarik lebih ramai pelancong ke bandar ini yang mempunyai
sejarahnya tersendiri sebagai pusat dagangan silam, Batu Bersurat,
selain ke Tasik Kenyir dan juga hutan lipur Sekayu.
“Cetusan
idea itu telah dikemukakan kepada syarikat utiliti tersebut sebaik
sahaja mereka memaklumkan tentang pemilihan daerah ini sebagai salah
satu daripada dua lokasi yang bakal mendapat manfaat melalui pelaksanaan
projek tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Sebagai
wakil seluruh rakyat Kuala Berang, kami berterima kasih serta berbangga
dengan inisiatif TNB, dan dalam usaha menonjolkan peranan juga sokongan
mereka, maka saya melihat keperluan untuk mengindahkan kawasan ini.
“Ini
juga sebagai satu persediaan ketika Kuala Berang dijangka turut
menerima kesan limpahan ekonomi apabila tasik bebas cukai pertama di
dunia di Tasik Kenyir beroperasi kelak,” ujarnya ketika ditemui Utusan
Malaysia di sini semalam.
Empangan Kenyir
atau Stesen Kuasa Sultan Mahmud merupakan empangan terbesar di
Semenanjung yang dikendalikan TNB dengan keupayaan terjamin h 165 MW dan
janaan tenaga tahunan 1,600 GWh.
Menurut
Tengku Putera, satu pertemuan antara TNB dengan Jawatan Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK) serta penghulu telah diadakan baru-baru ini
diikuti dengan pegawai daerah dan pihaknya bagi mendapatkan maklumat
awal tentang pembangunan yang diperlukan penduduk setempat.
Katanya,
selain aspek pencahayaan, tumpuan turut dicadangkan bagi menaik taraf
Dewan Terbuka Badan Kebajikan dan Sukan Komuniti Kuala Berang dengan
kemudahan kolam renang dewasa serta kanak-kanak, gimnasium diikuti trek
joging dan basikal.
Sementara itu, beliau
turut meminta penduduk setempat agar memanfaatkan pembukaan tasik bebas
cukai kelak untuk turut menjana kegiatan ekonomi dan tidak sekadar
menjadi pemerhati apabila Kuala Berang yang menjadi bandar laluan
menjadi tumpuan ramai kelak.
“Ini termasuklah
dengan membangunkan ruang-ruang niaga, penginapan, menyediakan khidmat
pengangkutan di samping mempelbagaikan corak produk yang dikenali di
daerah ini secara lebih kreatif seperti jagung dan masakan tempatan
dengan harga berpatutan,” ujarnya.